KUALA LUMPUR: Raghad Kurdi Taib, isteri kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Raghad Kurdi Taib menolak dakwaan beliau mengeluarkan bekas Yang di-Pertua Sarawak itu dari sebuah hospital pakar ketika masih menerima rawatan.
Raghad berkongsi penafian itu menerusi hantaran di media sosialnya beserta nota yang tulisannya tidak jelas.
Sekali lagi Raghad memberitahu dakwaan yang dibuat ke atasnya tidak benar.
Pada nota itu tertera ‘Nursing notes’ bertarikh 2 Februari dari wad unit rawatan rapi, tempat Abdul Taib dirawat.
Terdahulu, keluarga Abdul Taib membuat laporan polis meminta siasatan dibuat.
Abdul Taib dilaporkan tidak sihat dan memerlukan pemerhatian dan rawatan sewajarnya.
Laporan itu mendakwa lewat malam Sabtu, seorang ahli keluarga terdekat telah mengeluarkan semua peralatan perubatan yang melekat pada tubuh Abdul Taib tanpa memaklumkan kakitangan hospital.
Abdul Taib kemudian diletakkan di atas sebuah kerusi roda dan diusung keluar dari hospital dan dibawa menaiki sebuah kenderaan.
Polis Sarawak, pada semalam mengesahkan menerima laporan Abdul Taib didakwa telah diculik dari hospital oleh seorang ahli keluarganya.