Rafizi mahu Riza, Ashman bayar tiket jet ke China

Setiausaha Agung PKR itu berkata, Riza dan Ashman bukan dikategorikan sebagai individu penting atau VVIP sekaligus membolehkan mereka menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan untuk golongan tersebut.

“Jika jet peribadi kerajaan adalah untuk kegunaan VVIP negara, adakah ini bermaksud selain dari isteri Perdana Menteri, kini anak dan anak tiri Perdana menteri juga telah diiktiraf sebagai VVIP negara sehingga mereka boleh menaiki jet peribadi kerajaan?

“Jika mereka bukan VVIP negara, adakah mereka membayar kos menaiki jet peribadi itu? Adakah mereka bayar setakat ini setiap kali mereka menaiki jet peribadi kerajaan?,” katanya kepada wartawan ketika sidang media di Parlimen, pada Rabu.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sekiranya kedua-dua individu tersebut merupakan VVIP, perkara itu harus dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Kalau itu berlaku bawa ke Parlimen dahulu dan mari bahaskan adakah Riza boleh dikategorikan sebagai VVIP negara,” ujarnya.

Rafizi sebelum itu membangkitkan isu berkenaan di dalam Dewan Rakyat apabila anak Najib dikesan turut berada dalam jet rasmi kerajaan yang membawa Najib dan isterinya, Rosmah Mansor dalam lawatan seminggu beliau di China baru-baru ini.

Anak pasangan itu, Norashman Najib turut berkongsi gambarnya ketika turun dari jet di laman Instagram.

Sementara itu, Rafizi turut mendesak agar peraturan mengenai penggunaan jet peribadi kerajaan didedahkan kepada umum bagi mengesahkan kelayakan individu yang layak menaikinya.

“Apakah peraturan kerajaan mengenai jet peribadi itu? Siapa yang layak naik? Saya mahu tahu terperinci setiap seorang yang boleh adakah ahli Parlimen seperti kami pun boleh menaiki ket peribadi? Kerana kalau Riza dan Ashman boleh kami mesti boleh menaikinya,” katanya lagi.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri