Pulau Pinang masih belum kemuka dokumen jambatan ketiga

Menteri Kerja Raya itu berkata pihaknya memerlukan dokumen kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk bernilai RM305 juta yang hampir siap yang telah ditauliahkan dan dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang untuk projek terowong bawah laut dan hubungan jalan raya berkaitan.

Dengan adanya dokumen tersebut kata Fadillah, pihaknya dapat membuat penilaian yang adil terhadap cadangan jambatan ketiga itu, untuk menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar.

“Kami mengingatkan kerajaan Pulau Pinang agar berkongsi dengan kami semua dokumentasi relevan, agar kami dapat membuat keputusan bermaklumat demi kepentingan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Fadillah, perkara ini tidak seharusnya menjadi masalah kepada kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh Lim Guan Eng kerana kerajaan negeri sendiri telah mengesahkan dua bulan lalu bahawa kajian berkenaan yang berkaitan dengan tiga jalan raya berhubungan telah siap 100 peratus sementara kajian kebolehlaksanaan bagi terowong itu sendiri siap 83 peratus.

“Seperti dinyatakan terdahulu, memperkenalkan link ketiga boleh mengubah dinamik aliran lalu lintas dalam sistem jalan raya Persekutuan dan negeri.

“Oleh itu kesan aliran penyuraian lalu lintas mestilah dikaji secara terperinci dan dikemukakan sebagai bahagian daripada proses.

“Kita tidak mahu memburukkan lagi keadaan lalu lintas yang sudah sedia sesak di pulau itu,” katanya.

Bagaimanapun kata Fadillah, pihaknya masih perlu membuat kajian selanjutnya bagi menentukan impak jambatan ketiga terhadap operasi perkapalan dan pesawat penerbangan dengan jajaran yang dicadangkan sekarang.

Susulan daripada itu, Fadillah menegaskan kementeriannya berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang secara profesional demi menentukan kebolehlaksanaan dan penetapan masa link ketiga yang dicadangkan ke tanah besar.

Pada 16 Jun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan yang beliau akan memohon pertemuan dengan Menteri Kerja Raya bagi membincangkan projek jambatan ketiga itu.

Jambatan itu yang akan menghubungkan Pesiaran Gurney di Pulau Pinang dengan Bagan Ajam di tanah besar dianggarkan menelan kos RM1.8 bilion.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia