Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata selaras dengan pemberian insentif itu, PTPTN menjangkakan peningkatan 10 peratus bayaran balik pinjaman melalui kaedah pembayaran seperti dalam talian, debit langsung dan potongan gaji.
“Melalui insentif itu peminjam dapat meringankan beban hutang yang ditanggung kerana secara tidak langsung ia akan mengurangkan jumlah hutang yang perlu dibayar.
“Insentif ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN sama ada yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan atau sebaliknya dengan memulakan dan meneruskan bayaran balik mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Shamsul Anuar, insentif itu juga akan meningkatkan kesedaran peminjam PTPTN yang sudah bekerja untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui kaedah potongan gaji atau debit langsung.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini berkata insentif itu melibatkan diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.
Sementara, insentif lain adalah diskaun sebanyak 10 peratus bagi bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
Insentif itu juga melibatkan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik mela1ui potongan gaji atau debit langsung mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan.
Pemberian diskaun 15 peratus dan 10 peratus itu layak diterima peminjam berkuat kuasa hari ini (22 Oktober) hingga 31 Disember 2017. – Bernama