PRU14: Inilah penyelesaian kita – Presiden PAS

Kata Abdul Hadi, PAS tidak terikat dengan mana-mana pihak dan tidak terpengaruh dengan mana-mana tekanan dalam membuat keputusan kerusi mana yang bakal ditandingi oleh parti Islam itu.

“PAS sedang mengkaji dengan mendalam setiap satu persatu kerusi dalam seluruh senarai Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negara kita.

“Keputusan di kawasan mana PAS bertanding, samada dua penjuru, tiga penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisanya, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera PAS di setiap kedudukan kawasan pilihanraya berkenaan.

“PAS tidak tertakluk pada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihanraya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya.

“Oleh itu PAS akan hanya membuat keputusan apabila tiba masanya yang sesuai,” kata ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Hadi, PAS masih lagi berpegang kepada keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini bahawa tiada sebarang kerjasama dalam apa jua bentuk dengan parti DAP dan PAN.

Abdul Hadi turut membidas tindakan pihak tertentu kononnya PAS kini sudah tidak berminat untuk menumbangkan Barisan Nasional dan enggan melayan fitnah parti itu telah menerima ‘dedak’.

“PAS tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai PAS.

“PAS akan tetap terus memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua kaum, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam Kerajaan BN, dengan pendekatan politik matang dan sejahtera.

“Pada masa yang sama PAS juga menolak sebarang perkiraan dan percaturan politik yang merugikan masa depan Islam dan ummatnya,” ujarnya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri