Proton Perdana 2016 baik untuk pasaran Argentina, kata duta

Beliau berkata walaupun Argentina sebelum ini mengamalkan ‘perlindungan’ termasuk terhadap industri automotifnya, Macri, sejak mengambil alih pentadbiran pada Disember 2015, perlahan-lahan membuka pasarannya.

“Proton Perdana merupakan sebuah kereta yang cantik, harganya baik. Ia mempunyai kemungkinan yang baik untuk diimport ke Argentina,” kata Salas kepada Bernama dalam temu bual di ibu pejabat agensi berita itu di sini mengenai sambutan Hari Kemerdekaan Argentina Ke-200 pada 9 Julai.

Duta yang baru dilantik itu hadir pada pelancaran generasi keempat Proton Perdana oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, pada Selasa.

Salas turut menyatakan kemungkinan Proton untuk membuka bilik pamerannya di Argentina, sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk mengembangkan kehadirannya dalam pasaran Amerika Selatan.

Awal bulan ini, Proton mengumumkan pembukaan rasmi bilik pameran 3S pertamanya di Santiago, Chile. Menurut laporan, model terpilih sebanyak 1,000 unit akan dibawa masuk ke pasaran Chile.

Sementara itu, Salas turut bersetuju dengan pandangan Najib bahawa model terkini Proton Perdana itu boleh menjadi satu titik perubahan kepada pengeluar kereta nasional itu.

“Saya rasa ia mempunyai kemungkinan yang kuat untuk melakukannya. Proton bermula sebagai sebuah syarikat yang menerima banyak perlindungan daripada kerajaan, tetapi kini ia lebih kompetitif, dan kurang bergantung kepada bantuan kerajaan,” kata Salas.

Menyentuh mengenai sambutan hari kemerdekaan negara, Salas berkata kedutaan di sini akan meraikan kemerdekaan Argentina ke-200 dengan pertandingan polo eksklusif di Kelab Polo Diraja Selangor pada 12 Julai yang menampilkan pemain utama Argentina.

Hari Kemerdekaan Argentina merupakan cuti umum yang disambut pada 9 Julai, apabila Deklarasi Kemerdekaan ditandatangani pada 1816 untuk membebaskan negara daripada penjajahan Sepanyol. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia