PUTRAJAYA: Kerajaan telah mengutip RM9.48 juta kompaun melalui Program Repatriasi Migran Jabatan Imigresen (JIM) setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan pada 1 Mac hingga 31 Disember depan.
“Bila kita bagi tempoh repatriasi migran sampai 31 Disember tahun ini, mereka (pendatang tanpa izin) perlu tampilkan diri di pejabat Jabatan Imigresen untuk bayar kompaun.
“Kemudian, mereka boleh balik ke negara asal masing-masing tanpa kita ambil tindakan di bawah kesalahan Akta Imigresen dan Akta Pasport yang mungkin membawa hukuman penjara,” katanya.
Beliau berkata, terdapat tiga kategori yang melayakkan pendatang tanpa izin untuk mendaftar dalam program itu iaitu masuk atau tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa di Malaysia dan melanggar syarat pas.
Saifuddin Nasution berkata, sebanyak 19,515 pendatang tanpa izin telah mendaftar dalam program itu, manakala 13,760 orang telah dihantar pulang ke negara asal bagi tempoh 1 hingga 21 Mac lalu.
“Kita akan terus memantau perkara ini sebab program ini kita anggap sebagai suatu inisiatif yang penting dalam menguruskan soal keberadaan pendatang tanpa izin di negara kita,” katanya.
Pada 1 Mac lalu, Saifuddin Nasution dilaporkan menggesa pendatang tanpa izin untuk hadir menyerahkan diri di mana-mana pejabat Imigresen dan membayar kompaun antara RM300 dan RM500 bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal dengan pengecualian pendakwaan di mahkamah.
Pelaksanaan program itu susulan keputusan kerajaan pada 31 Januari lalu untuk memberikan pengecualian pendakwaan dan menawarkan kompaun kepada pendatang tanpa izin yang menyerah diri untuk pulang ke negara asal atas tiga kesalahan.
Mengulas perkembangan kes pengabaian majikan terhadap 94 warga Bangladesh, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menyelesaikan isu penempatan pekerjaan dan penginapan golongan itu.
“Mereka ini ada dokumen sebab itu mereka dapat masuk ke Malaysia. Cuma bila masuk sini (Malaysia), majikan tak sediakan pekerjaan dan tempat tinggal.
“Hal ini yang sedang dikendalikan KESUMA. Dari segi proses dokumentasi yang bawah bidang kuasa kami (Kementerian Dalam Negeri) dah selesai,” katanya.
Pada 27 Februari lalu, media melaporkan pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 94 pekerja warga Bangladesh yang dilaporkan terabai tanpa disediakan pekerjaan dan penginapan yang kondusif oleh majikan sejak dibawa masuk ke negara ini pada November 2023 oleh sebuah syarikat pembinaan di Cheras, Selangor. – Bernama