Kata Fahmi, PRN negeri melibatkan 40 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang mana implikasi daripada pilihan raya itu akan memberi kesan kepada semua parti pembangkang berbanding Langkah Kajang yang hanya memberi kesan kepada PKR sahaja.
“PKR sentiasa menjadi rakan yang konsisten dalam gabungan politik sama ada ia adalah Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.
“Kami sentiasa berunding, mendengar dan bertindak berdasarkan pandangan dibangkitkan rakan dalam gabungan itu, dan akan terus begitu dalam usaha bersama membina Malaysia lebih baik,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Guan Eng sebelum ini mendesak supaya PKR bersetuju dengan cadangannya untuk mengadakan PRN di Pulau Pinang seperti mana yang dilakukan oleh DAP yang ‘terpaksa bersetuju’ dengan dengan tindakan PKR sebelum ini untuk mengadakan PRK di kawasan parlimen Permatang Pauh dan DUN Penanti di Pulau Pinang serta Kajang di Selangor.
Menurut Fahmi PRK Permatang Pauh pada 2008 dan 2015 dibuat kerana “pendakwaan politik berterusan” ke atas pemimpin umum parti berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PRK pada 2008 diadakan apabila penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan bagi membolehkan Anwar kembali ke parlimen selepas tempoh larangan ke atasnya selama lima tahun berakhir.
PRK tahun lalu pula diadakan apabila Anwar yang menjadi MP Permatang Pauh dihukum penjara untuk kali kedua.
Kata Fahmi PRK Penanti pada 2009 pula dibuat sebagai tindak balas kebimbangan DAP terhadap prestasi ADUN di kawasan berkenaan.
Menurutnya untuk PRK Kajang pula ada beberapa perbincangan dengan DAP dan pimpinan Pakatan Rakyat dilakukan sebelum ia dibuat.
“Selepas kewajaran untuk PRK itu dibentangkan pimpinan DAP memberi sokongan kepada langkah mengukuhkan pentadbiran di Selangor,” katanya.