Messi mengejutkan bola sepak Argentina apabila membuat pengumuman itu selepas tewas di tangan Chile 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi sepenuh masa terikat tanpa jaringan.
“Zaman saya bersama pasukan kebangsaan sudah tamat. Sudah empat kali final, ia sudah tidak bermakna. Saya sudah mencuba. Saya memang mahukan gelaran itu, tapi saya tidak dapat mencapainya, maka saya fikir ia sudah berlalu,” kata Messi.
Messi terlepas penalti pertama Argentina yang terkena palang gol sekali gus menyaksikan pasukannya terus ketinggalan selepas itu. Presiden Argentina, Mauricio Macri menerusi Twitter berkata: “Saya tetap bangga dengan dengan pasukan kebangsaan ini. Saya harap kita semua dapat terus menikmati aksi pemain terbaik dunia pada tahun akan datang.”
Macri yang juga bekas Presiden Kelab Boca Juniors, menamatkan tweetnya dengan hashtag #NoTeVayasLio (#JanganPergiLio), yang mencetus perdebatan hangat di seluruh dunia sejak kelmarin.
Presiden Kelab Lanus, Nicolas Russo, Persatuan Bola Sepak Argentina akan cuba memujuk Messi mengubah pendirian sambil mengakui Messi perlu kekal dalam pasukan negara itu.
Pada saingan final Copa 2007, Messi dan Argentina tewas kepada Brazil dan pada Piala Dunia 2014, Messi dan Argentina juga tewas kepada Jerman dalam tambahan masa.
Pada pentas final Copa America tahun lalu, Messi juga kempunan di tangan Chile juga menerusi penentuan penalti selepas kedudukan sepenuh masa terikat 0-0.
Messi menyertai Barcelona pada 2001 ketika berusia 13 tahun dan bekerja keras untuk kejayaan kelab bola sepak Catalan itu, namun peminat bola sepak Argentina kerap membidasnya kerana gagal menyumbang piala untuk pasukan kebangsaan sendiri dan ia amat berbeza dengan Diego Maradona yang menjulang Piala Dunia pada 1986.
Begitupun, penyokong berhimpun di hadapan bangunan Persatuan Bola Sepak Argentina dengan sebahagian besarnya sedih dengan keputusan diambil Messi.
“Saya sangat sedih, ia menghancurkan hati saya, ia piala yang patut dimenangi lebih daripada yang sepatutnya, saya tidak mahu dia meninggalkan pasukan kebangsaan ini,” kata Juan Pablo Pinasco.
“Dia adalah pemain terbaik di luar Argentina, cuma dia tidak bernasib baik di sini. Itu saja, dia memang wajar berundur. Pasukan kebangsaan tidak membantunya. Sekarang masih ada peluang lagi. Biarkan seorang pemain baru menggantinya, seseorang yang lebih berjiwa besar,” kata Guido Stanchi.
Penjaga gol Argentina, Sergio Romero pula berkata, Messi meluahkan perasaannya ketika amat kecewa dan mahu ia menarik semula pengumumannya.
“Dia amat sedih dan tertekan kerana terlepas satu lagi peluang keemasan merangkul kejuaraan,” katanya.
Pasukan Argentina akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay pada September dan disebut sebagai antara pasukan pilihan menjuarai Piala Dunia 2018 di Russia.
Argentina muncul juara Piala Dunia pada 1978 dan 1986 dan kali terakhir menjulang trofi Copa America pada edisi 1993.
Setakat ini, Messi, yang akan genap berusia 29 tahun Jumaat ini, hanya memenangi pingat emas Olimpik (B-23) dan sudah membantu Barcelona memenangi empat gelaran liga Sepanyol, menjaringkan 453 gol dalam 531 perlawanan kompetitif termasuk rekod jaringan gol 312 di La Liga.
Messi juga pendahulu senarai penjaring gol terbanyak Argentina dengan 55 gol menerusi 113 penampilan antarabangsa. – AP