PPBM perlu buat keputusan, pilih antara dua

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, syarat tersebut telah diberikan kepada PPBM dalam pertemuan sebelum ini.

“Buat masa ini kita tidak pernah mengadakan apa-apa hubungan atau kerjasama politik dengan PPBM. Cuma kita pernah bertemu kerana mereka menyatakan hasrat untuk bersama PAS.

“Bagaimanapun, kita telah memberikan beberapa syarat, jika mereka ingin mengadakan hubungan dengan PAS, mereka tidak seharusnya mengaitkan dengan hubungan PPBM dengan PAS bersama DAP dan Amanah. Itu adalah pilihan untuk mereka,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Kelmarin, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya tidak akan menunggu PAS lebih lama.

Menurutnya, jika ia mengambil masa terlalu lama, pembangkang akan bergerak dengan rancangan mengalahkan BN tanpa PAS.

Takiyuddin berkata, buat masa ini pihaknya bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan pada masa sama beliau tidak menafikan masih memiliki hubungan baik dengan PKR.

“Kalau PPBM mahu menyertai kita, itulah pilihan yang mereka ada.

“Tapi jika mereka masih mahu bersama Amanah, DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan, itu maknanya mereka berada dalam keadaan yang kita tidak boleh terima. PPBM sendiri perlu membuat keputusan dalam hal ini,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri