Pengerusi PPBM itu berkata, mereka akan bekerjasama dengan pembangkang dan berikrar untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Kami pengasas telah tubuh parti ini kerana kami percaya dengan sokongan rakyat kami akan dapat pulihkan semula negara bertuah ini.
“Rakyat merata-rata telah menyuara dan mendesak supaya sesuatu dibuat untuk mengembalikan negara ke jalan yang mulia – jalan yang berjaya bangunkan negara miskin ini sehingga terkenal sebagai contoh kepada negara-negara membangun lain di dunia.
“Di mana sahaja rakyat Malaysia pergi, mereka dapat berbangga dengan komen baik terhadap kemajuan yang dicapai oleh negara ini,” kata Dr Mahathir di laman blognya, www.chedet.cc hari ini.
Melalui kenyataan bertajuk “Parti Pribumi Bersatu Malaysia” itu Dr Mahathir berkata, adalah penting PPBM mempunyai ramai ahli secepat mungkin.
“Oleh itu saya jemput semua pribumi yang bukan ahli dalam mana-mana parti pembangkang untuk daftar sebagai ahli dengan mengisi borang atau melakukan daftar online.
“Percayalah penyertaan saudara saudari dalam PPBM akan menyumbang kepada pemulihan negara yang akan membawa banyak kebaikan kepada kita semua,” katanya.
PPBM semalam mengumumkan barisan tertinggi parti itu dengan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik menjadi Timbalan Presiden dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilantik sebagai Naib Presiden Bersatu.
Turut dilantik sebagai Naib Presiden Bersatu adalah bekas Exco kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman dan peguam, Abdul Rashid Asarin.
Manakala bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Datuk Abdul Kadir Jasin dilantik menjadi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu bersama-sama 19 yang lain.