PPBM akur amaran ROS, tak guna singkatan ‘Bersatu’

Setiausaha Agung, Datuk Sharuddin Md Salleh, berkata pihaknya memandang serius perkara itu biarpun ramai ahli akan kecewa dengan larangan itu yang sudah sebati dengan perkataan BERSATU bagi merujuk PPBM.

Namun, katanya PPBM perlu akur dengan peringatan daripada ROS kerana tidak mahu isu berkenaan mengganggu gugat penat lelah yang telah dan sedang dilakukan oleh semua pihak untuk menguatkan parti.

“Kita sudah menerima sepucuk surat peringatan bersifat amaran daripada ROS mengenai penggunaan perkataan ‘BERSATU’ bagi merujuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Justeru adalah dinasihatkan supaya nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau singkatannya PPBM hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi parti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

ROS menerusi sepucuk surat pada Rabu lalu mengingatkan dan memberi amaran kepada PPBM supaya tidak lagi menggunakan nama BERSATU dalam apa juga bentuk program dan aktiviti parti termasuk ceramah, penerbitan serta penggunaan poster, kain rentang dan sebagainya.

Surat itu memberi amaran bahawa sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan pihak PPBM masih lagi menggunakan nama atau panggilan BERSATU dalam apa keadaan sekalipun, ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap PPBM termasuklah tindakan yang boleh menyebabkan pembatalan pendaftaran parti berkenaan.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri