Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pergolakan politik yang berlaku di Terengganu hanya ibarat “pertelingkahan adik beradik”, malah perkara itu dapat menguatkan lagi solidariti dan pemuafakatan dalam kalangan wakil rakyat UMNO di negeri itu.
Beliau juga menjelaskan, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan diadakan Isnin ini dan tidak ada sebarang kejadian luar biasa dijangka berlaku pada persidangan itu.
“Saya sering berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi keyakinan kepada beliau bahawa keadaan di Terengganu terkawal, tidak ada yang perlu dibimbangkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Anak Terengganu, di Putrajaya pada Sabtu.
Baru-baru ini BH menyiarkan laporan kemelut politik di Terengganu, yang mana pada sidang DUN lalu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, membawa usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Ahmad Razif.
Kelmarin, EXCO kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib, turut mempertikaikan kewibawaan Ahmad Razif menerajui Terengganu.
Ahmad Razif berkata, masalah membabitkan Ahmad Said, yang juga ADUN Kijal dan Ghazali kini di bawah kawalan dan ia perlu diterima sebagai perkembangan positif.
“Apa yang penting sekarang adalah untuk terus memandang ke hadapan bagi memajukan rakyat serta ekonomi Terengganu,” katanya.
Ditanya sama ada akan menemui Najib dalam masa terdekat berhubung kemelut yang melanda pucuk pimpinan UMNO Terengganu, beliau berkata, itu tidak perlu kerana Perdana Menteri sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini berhubung isu itu. –BH Online