Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata, pihaknya sudah merakam percakapan beberapa individu bagi membantu siasatan dan akan terus memanggil individu berkaitan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat strategik kerajaan itu.
“Kita akan menyiasat sama ada terdapat elemen jenayah dan hasil siasatan akan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-209 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Khalid, siasatan itu dibuka semula selepas pihaknya meneliti 106 halaman laporan yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.