KUALA LUMPUR: Seramai lima orang lelaki berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan dalam kes sekumpulan lelaki yang disyaki memukul anggota polis sehingga mati dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang awal pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya meneruskan pemburuan terhadap beberapa suspek lagi yang terlibat sama dan masih bebas di luar.
“Dalam perkembangan terkini kes berkenaan (polis mati dibelasah) kita berjaya menahan lima suspek lelaki disyaki memukul mangsa.
“Kesemua suspek itu yang berusia lingkungan antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan semalam (Sabtu) di sekitar daerah Kajang manakala usaha mengesan beberapa individu lagi sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut dalam kes terbabit, Hussein menambah keputusan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat simati pada petang semalam mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di kepala akibat hentakan.
“Kita telah menerima hasil laporan bedah siasat terhadap mangsa dan keputusan autopsi itu menunjukkan bahawa polis itu meninggal dunia akibat hentakan di kepala/kecederaan parah di kepala.
“Polis meneruskan siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” katanya lagi.
Semalam, seorang anggota polis dilaporkan maut selepas dipercayai dibelasah teruk dalam kejadian yang berlaku di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, anggota berpangkat koperal berusia 34 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian tersebut.
Jelas Hussein,siasatan awal mendapati mangsa adalah anggota polis yang masih berkhidmat di ibu pejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur.-MalaysiaGazette