Polis sahkan terima laporan fitnah MB Johor

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan tersebut pada jam 3.05 petang kelmarin.

Menurut Wan Ahmad, laporan berunsur fitnah itu telah dikeluarkan oleh blog ‘My Nation’ dan dipercayai boleh mendatangkan kekeliruan terhadap orang ramai dan memberi persepsi buruk terhadap Khaled.

Susulan daripada itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan teknologi kerana pihaknya tidak akan berkompromi dengan laporan berunsur fitnah dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan menganggu orang lain.

“Saya juga mengingatkan polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Johor Ahmad Asri Khalbi ketika dihubungi mengesahkan membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Iskandar Puteri kelmarin.

Laman blog itu dalam salah satu artikelnya mendakwa Mohamed Khaled merupakan ‘orang yang merestui’ di sebalik akaun Facebook ‘Johor Bangkit’ yang menyebarkan foto manipulasi sehingga meninggalkan persepsi negatif terhadap Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor baru-baru ini.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri