Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dakwaan Dr Mahathir itu adalah tuduhan berat yang boleh merosakkan imej Yang di-Pertuan Agong.
“Mungkin polis kena siasat. Satu kenyataan yang berniat jahat dengan fitnah yang begitu tinggi. Saya tak dengar pun cerita tahanan rumah.
“Saya pun tak tahu macam mana (Tun) Mahathir boleh dapat kenyataan ini dan saya tertanya-tanya itu bukan sifat bekas Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya dan Mahasiswa Anak Johor di sini hari ini.
Azalina yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menyatakan amat terperanjat dan sedih dengan kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir kerana seolah-olah adanya niat dan sangkaan jahat oleh kerajaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu boleh menyatakan rasa tidak gembira terhadap kepimpinan politik tetapi mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ditahan di rumah adalah satu kenyataan fitnah terhadap kepimpinan negara.
“Saya kadang-kadang tengok kenyataan (Tun) Mahathir itu saya tak percaya dia ini mantan perdana Menteri. Itu yang saya nak komen pun tergagap-gagap sebab saya tak boleh bayangkan negarawan boleh bersifat sedemikian,” katanya.
Semalam, Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaannya bahawa Yang di-Pertuan dan Raja-Raja Melayu dikenakan tahanan rumah.