Polis curi kereta polis di Bukit Aman, lapor akhbar

Memetik laporan akhbar The Sun, kedua-dua pegawai berkenaan yang masing-masing merupakan timbalan superintenden dan penolong superintenden dari Jabatan Siasatan Trafik dan Jabatan Penguatkuasaan meletakkan kenderaan mereka di tempat parkir Menara I, bangunan Bukit Aman.

Mereka kembali minggu lalu selepas tugasan rasmi di luar kawasan dan terkejut mendapati kereta mereka, sebuah Volkswagen Vento dan Proton Saga telah hilang.

Timbalan superintenden itu yang ke Terengganu, meletakkan keretanya di tingkat pertama pada 26 September dan kembali pada 5 Oktober, manakala rakan pegawainya meletakkan keretanya di tingkat dua.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, seorang anggota polis, yang kemudiannya dikenalpasti sebagai berpangkat lans koperal telah ditahan.

“Kami sedang menyoal siasat untuk menentukan sama ada dia terlibat dengan mana-mana sindiket curi kereta,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kecurian kenderaan. Kereta-kereta berkenaan bagaimanappun masih belum ditemui.

Akhbar itu memetik sumber berkata rakaman kamera keselamatan di tempat letak kereta menunjukkan seorang anggota polis memandu keluar dengan kedua-dua kereta berkenaan.

Kejadian pertama dirakamkan pada jam 3 pagi, 30 September manakala kejadian kedua pula pada jam 10 malam pada 1 Oktober.

Rakaman juga menunjukkan sebuah kereta Perodua MyVi putih yang dipandu oleh individu yang tidak dikenali mengekori kenderaan polis itu.

Bukit Aman kini difahamkan sedang mengesan rakan suspek lans koperal terbabit.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap