Polis bongkar sindiket dadah, rampas syabu RM7.6 juta

KUALA LUMPUR: Aktiviti sindiket pengedaran dadah yang menyewa tiga unit kondominium mewah dengan kadar sewa RM2,500 sebulan dan menyimpan pelbagai jenis dadah bernilai RM7.6 juta dibongkar polis.

Dua suspek lelaki termasuk dalang yang memainkan peranan utama sindiket itu berjaya diberkas dalam satu serbuan tergempar di Cheras.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya telah melancarkan dua serbuan ke atas tiga unit kondominium mewah di kawasan Cheras pada 14 Februari lalu.

“Hasil serbuan pihaknya berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 41 tahun di salah sebuah unit kediaman kondominium itu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dua lagi kondominium yang disewa mereka polis berjaya menjumpai 182.97 kilogram dadah pelbagai yang dianggarkan bernilai RM7.6 juta,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Mohd Kamarudin, pecahan jenis dadah yang dirampas dalam serbuan itu ialah syabu seberat 134.87 kilogram (kg), 25.54 kg ekstasi, 8.26 kg ketamin, 8.25 Eramin 5, menahan bernilai RM7.6 juta daripada 124.87kg syabu, 8.25kg Erimin 5 dan 6.05kg serbuk dadah MDMA.

Katanya, polis juga berjaya merampas sepucuk pistol tiruan jenis Airosoft bersama dua kelopak daripada suspek selain sebuah kereta Mercedes Benz E350 dan Hyundai Sonata bernilai RM163,000 yang menyaksikan keseluruhan rampasan dadah dan aset bernilai RM7.779 juta.

“Siasatan lanjut polis mendapati salah seorang suspek berperanan sebagai dalang yang mengkordinasi operasi pengedaran dadah selain mengambil pesanan dadah dari pelanggan sebelum rakannya menjadi transporter yang menguruskan penghantaran dadah sekitar Lembah Klang dan menerusi khidmat kurier kepada pelanggan di Sabah Sarawak.

“Modus operandi mereka adalah menyewa tiga unit kondominium mewah yang mempunyai tahap kawalan keselamatan tinggi dengan kadar sewa bulanan RM2,500 seunit dan menyimpan bekalan dadah itu.

“Malah kita juga mendapati sindiket yang beroperasi sejak pertengahan 2023 itu berdasarkan pembungkusan kita mendapati bekalan dadah ini berkemungkinan dibawa dari Myanmar dan dibawa masuk menggunakan jalan darat melalui Bukit Kayu Hitam di sempadan Thailand atau Sungai Golok,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dan disambung reman seminggu lagi sehingga 28 Februari ini untuk membantu siasatan lanjut.

Malah kedua-dua suspek telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan keputusan negatif dadah selain semakan lanjut juga mendapati salah seorangnya memiliki 22 rekod kesalahan lampau jenayah dan dadah.

“Jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 850,000 penagih di Lembah Klang. Kita juga sedang meneruskan siasatan bagi mengenalpasti saki baki sindiket yang terlibat dalam rangkaian dadah ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap