MELBOURNE: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Melbourne pada Ahad malam untuk memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Australia atas jemputan rakan sejawatnya Perdana Menteri, Anthony Albanese.
Pesawat khas yang membawa Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne Jet Base kira-kira 10.40 malam waktu tempatan atau 7.40 malam waktu Malaysia.
Semasa lawatannya, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN- Australia dari 5 hingga 6 Mac.
Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Malaysia dan Australia akan mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan spektrum kerjasama yang luas, disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digutal dan keselamatan siber.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia, dengan ASEAN dan Australia akan mengkaji semula situasi kerjasama semasa dan membincangkan penambahbaikan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang termasuk peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, kesalinghubungan dan kerjasama maritim.
Sidang Kemuncak Khas itu dijangka menerima pakai Pernyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne, sebagai dokumen panduan untuk memajukan lagi hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Australia.
“Penyertaan Malaysia di ALM dan Sidang Kemuncak Khas itu mencerminkan komitmen yang kuat untuk mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan Australia di bawah rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, menerusi platform dua hala atau multilateral,” kata Wisma Putra.
Sementara di Melbourne, Anwar dijadualkan merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa, menghadiri mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri, mengadakan perjumpaan perniagaan seorang ke seorang dengan pelabur berpotensi, menyampaikan ucaptama di Invest ASEAN Melbourne 2024 dan menjadi hos dalam majlis makan malam untuk diaspora Malaysia.
Di Canberra, Anwar juga dijadualkan melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral Australia, David Hurley dan menyampaikan syarahan umum di Australian National University di sana. – Bernama