Di kalangan pegawai perubatan, situasi yang dialami Hsien Loong itu dikenali sebagai ‘vasovagal syncope’.
Umumnya ia menggambarkan seseorang itu dalam keadaan pengsan kerana badan tidak mempunyai cukup cecair.
Kadar darah dalam badan berkurangan dan tidak cukup untuk mengepam dari jantung ke seluruh tubuh termasuk otak, kata pakar jantung, Paul Chiam dari Hospital Mount Elizabeth.
Kebiasaannya, apabila seseorang itu berdiri terlalu lama, darah berkumpul pada kaki dan ia tidak dapat disalurkan ke otak, sekali gus menyebabkan seseorang itu berasa pening.
Dr Chiam berkata: “Kes vasovagal syncope biasa berlaku ketika perarakan acara tertentu.
“Salah satu cara untuk mengelak ia berlaku adalah dengan menggerakkan ibu jari kaki dan menguatkan otot kaki dari semasa ke semasa.”
Bagaimanapun, keadaan yang dialami Hsien Loong tidak mempunyai kesan jangka panjang, kecuali ia sering kali berlaku. Tetapi, apa yang membimbangkan jika individu itu pengsan, jatuh dan kepalanya tercedera.
Kata Dr Chiam lagi, situasi itu akan pulih apabila seseorang itu baring beberapa saat selepas darah mengalir ke otak.
Sementara itu, bagi Pengarah Pusat Jantung Universiti Nasional Singapura, Professor Tan Huay Cheem, diserang strok adalah perkara utama dalam fikirannya ketika menyaksikan Perdana Menteri Lee di televisyen pada Ahad.
“Beliau kelihatan pucat dan saya sendiri terkejut melihat keadaannya,” katanya.
Bagaimanapun, sebaik Hsien Loong dapat kembali ke pentas dan meneruskan ucapannya, maka ia mengesahkan bahawa beliau tidak diserang strok.
“Sesiapa yang diserang strok tidak dapat pulih dengan cepat,” katanya.
Perdana Menteri Lee mempunyai jadual padat sejak beberapa minggu lalu termasuk tiga lawatan rasmi pada Julai iaitu Malaysia, Mongolia dan Amerika Syarikat, diikuti program dalam negara dan kawasan yang diwakilinya setiap hari. –The Straits Times/Asia News Network