KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam memperingati peristiwa Nuzul al-Quran dengan memanfaatkan ruang yang ada menekuni kupasan dan tafsir al-Quran.
Menurut beliau, memahami mesej al-Quran itu seharusnya lebih ditekankan kerana al-Quran itu hidup, berbicara dan menjadi suluhan dalam tiap kurun sejarah.
“Kita dituntut memperbanyak tilawatul Quran pada setiap Ramadan bagi meningkatkan darjat dan pahala, namun ia tidak harus terhenti sekadar itu.
“Umat juga dituntut untuk bertadabbur memahami seruan dan gesaan Qurani yang hakikatnya sarat dengan mesej akhlak dan kemanusiaan sejagat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Perdana Menteri berkata, penghayatan mesej hikmah al-Quran akan mendidik kita menjadi insan yang bertaqwa, berakhlak mulia, adil dan sederhana dalam segenap perkara.
“Ibrah yang terpancar dari firman Ilahi tidak dilorongkan khusus buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia (hudan linnas).
“Tiap mauduk perbahasan, tiap kisah dan riwayat, baik kisah pemuda al-Kahfi atau kisah Nabi Allah Yusuf AS, kesemuanya sarat dengan roh perjuangan dan iktibar yang mendalam,” ujarnya.
Tambah beliau, menekuni setiap ayat bagai menggenggam cahaya obor yang menyoroti kejadian dan menerangi jalan ke hadapan.
“Meski di akhirnya kita hanya berhasil meneguk setitis air dari lautan luas hikmah kebijkasanaan al-Quran, namun Allah SWT tidak pernah memberati hamba-Nya.
“Oleh itu cukup buat melunasi bahagian penting dari kehidupan kita sebagai manusia dalam bahtera kehidupan ini.
“Moga perdampingan kita dengan al-Quran menjadi penyuluh hidup di dunia dan pembelaan di akhirat kelak. Selamat memperingati peristiwa Nuzul al-Quran,” katanya. – MalaysiaGazette