PM Gesa PDRM Perbaiki Imej

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua peringkat diminta memperbaiki sikap yang boleh merosakkan imej dan integriti pasukan itu khususnya dalam kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih memalukan, sikap segelintir kecil pegawai polis yang terlibat dalam kesalahan itu telah merosakkan keseluruhan nama baik PDRM.

“Jadi saya minta kerjasama pasukan polis di semua peringkat supaya perbaiki (sikap) kerana kita cuba mengubah imej dan sistem di negara kita ini.

“Walaupun kita mempunyai rekod cemerlang dalam banyak hal, tetapi negara juga tercemar kerana salah guna kuasa dan rasuah yang mencalarkannya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pasukan keselamatan utama negara hari ini memerlukan tahap pegawai yang lebih profesional untuk mengelakkan terlibat daripada kesalahan sekelompok kecil itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan memastikan semua perumahan polis, tentera dan penjawat awam daif di seluruh negara diperbaiki tahun ini.

“Kita dapat maklumat dan saya saksikan sendiri kedudukan rumah-rumah anggota polis itu sangat daif seolah-seolah kalau ada pun (diperbaiki) dalam (waktu) 10 hingga 15 tahun (adalah) langkah kecil-kecilan.

“Tapi tiada satu dasar perbaiki…memang ada disuarakan di Parlimen tetapi tindakan yang diambil kurang memberansangkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia