PLUS Jangka 2.1 Juta Kenderaan Guna Lebuh Raya Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan sehari menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya pada hari puncak sempena cuti perayaan Aidilfitri yang menjelang tiba.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata hari-hari puncak itu adalah pada 5, 6, 9, 12, 13 dan 14 April ini.

Katanya, angka trafik berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding 1.82 juta trafik sehari pada hari-hari biasa.

“PLUS menyediakan lebih 4500 petugas dalam ekosistem lebuh raya kendaliannya sepanjang musim perayaan ini.

“Sebagai persediaan, PLUS menugaskan seramai 70 kakitangan di Pusat Pemantauan Trafik PLUS (TMC) PLUS sehari pada waktu-waktu puncak untuk memantau, mengumpul dan menyalur maklumat trafik terkini serta menyelaras bantuan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan persediaan PLUS menghadapi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Menara Korporat, Persada PLUS di sini, hari ini.

Ahmad berkata, pengguna yang bercuti dan pulang ke kampung meraikan Aidilfitri dimohon untuk sama-sama berperanan membantu memastikan perjalanan berjalan lancar.

“Antara peranan pengguna ialah memastikan perjalanan dirancang menerusi jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di Aplikasi PLUS atau Aplikasi MYJalan KKR pada musim perayaan bagi perjalanan 4 hingga 15 April ini.

“Dengan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA ini pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau ‘travel time advisory’ (TTA) dengan memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian,” katanya.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi dan bateri alat peranti pengimbas berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

“Pengguna juga perlu menggunakan mod pembayaran yang sama sewaktu masuk dan keluar di plaza tol dan sentiasa mengikuti perkembangan trafik terkini melalui aplikasi X @plustrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PU-TRI, papan tanda elektronik sepanjang lebuh raya dan menerusi saluran stesen-stesen radio utama negara,” katanya.

Tambah beliau, pihak PLUS akan mengaktifkan laluan SmartLane di 18 lokasi kritikal di sepanjang lebuh raya PLUS bagi membantu penyuraian kesesakan trafik yang dijangka sempena perayaan Aidilfitri ini.

“Jumlah Smartlane berkenaan akan membabitkan tiga di bahagian utara, sembilan di bahagian tengah dan enam di bahagian selatan serta akan memberikan papan tanda smartlane pada jarak 1 kilometer (km) dan 500 meter sebelum memasuki laluan Smartlane berkenaan,” katanya. -Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia