Tiga kerusi panas DUN Mambong, Batu Kitang dan Simanggang menyaksi pembangkang DAP dan PKR bertembung sesama sendiri menentang Barisan Nasional.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam sidang medianya membentangkan kajian yang dibuat oleh Awang Hazman Awang Ahmad dr UUM yang menunjukkan peratusan sokongan parti-parti yang bertanding di tiga DUN tersebut.
Berdasarkan kajian tersebut, sokongan kepada Barisan Nasional masih mendahului parti PKR dan DAP di ketiga-tiga DUN tersebut.
Bagaimanapun, jumlah sokonga kepada PKR dan DAP jika digabungkan mendahului Barisan Nasional.
“Contohnya calon PKR Batu Kitang, Voon Shiak Ni yang telah bekerja keras selama ini. Beliau telah berada di kawasan itu selama 10 tahun. Beliau perlu diberi peluang tetapi DAP pada saat akhir meletakkan calon mereka (Abdul) Aziz (Isa) di situ.
“Jika kita boleh dapat undi daripada penyokong DAP, kita yakin boleh menang di kerusi itu,” katanya.
Kajian tersebut menunjukkan BN mendahului dengan 35 peratus di Batu Kitang meninggal lawannya dari PKR (33 peratus), DAP (31 peratus) dan bebas 1 peratus.
Manakala di DUN Mambong peratus sokongan PKR sebanyak 28 peratus dan DAP 27 peratus jauh ketinggalan di belakang BN iaitu sebanyak 45 peratus.
Keadaan yang hampir sama di Simanggang di mana BN jauh meninggalkan pesaing mereka PKR sebanyak 27 peratus, DAP (26 peratus) dan bebas sebanyak 6 peratus.
Bagaimanapun kesahihan kajian yang dibuat oleh Awang Hazman itu diragui. Carian di internet tidak menemui nama tersebut di Universiti Utara Malaysia.
Fahmi ketika didesak hanya menjawab “Kajian itu diserahkan kepada kami. Itu sahaja maklumat yang saya boleh berikan,” katanya.