PKR mahu Rafizi serah bukti ‘habuan wanita’ kepada SPRM

Keputusan itu ditetapkan parti itu pada mesyuarat biro politik PKR yang berlangsung malam tadi dengan membincangkan isu terbabit perkara yang dibangkitkan Rafizi sebelum ini.

Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pada masa sama parti itu juga akan meneliti tuduhan itu sekiranya ia membabitkan ahli parti itu.

“Biro politik sudah membuat ketetapan bahawa saudara Rafizi perlu membawa bukti-bukti yang ada pada beliau terus ke pihak SPRM.

“Pada masa yang sama, biro politik juga akan meneliti dakwaan tersebut dan sekiranya ia membabitkan anggota parti, anggota tersebut akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti,” katanya dalam satu keyataan.

Sebelum ini tersebar media sosial dan portal berita ‘print screen’ membabitkan perbualan Rafizi dengan ahli kumpulan WhatsApp membicarakan tentang ‘habuan perempuan’ dalam berurusan dengan kerajaan Selangor.

Sehari selepas tersebar perkara itu, Rafizi mengakui bahawa ‘print screen’ yang tersebar itu adalah perbualannya dan mengakui wujud unsur rasuah dalam tadbir urus kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan tuduhan itu yang disifatkannya sebagai fitnah jahat.

Oleh itu beliau meminta pihak yang membuat tuduhan itu mengemukakan bukti bagi membolehkan tindakan diambil.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri