Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Syerleena Abdul Rashid berkata, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil agar tidak mengungkit kisah membabitkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang memandangkan DAP pada ketika itu tidak dipanggil berunding berunding oleh PKR untuk mengadakan PRK terbabit.
“Kami enggan menyingkap kisah silam, Fahmi seharusnya menghargai keihklasan pendekatan yang diambil DAP dalam mengekalkan janji yang dibuat tanpa merosakkan tindakan bersama dalam keputusan Pakatan Harapan,” katanya, dalam satu kenyataan, malam Selasa.
Syerleena berkata, DAP juga tidak meminta PKR menggantikan wakil mereka di kerusi Penanti, Permatang Pauh atau Kajang yang mana keputusan itu dibuat sendiri oleh kepimpinan PKR.
“Fahmi boleh menyemaknya dengan kepimpinan tertinggi PKR. Fahmi juga boleh mengesahkan kepimpinan PKR tiada sebarang perbincangan dengan DAP berhubung keputusan tersebut.
“Namun begitu, DAP tidak merungut sebaliknya memberikan sokongan ytidak berbelah bahagi kepada kepimpinan PKR demi kepentingan kesatuan dan solidariti Pakatan,” katanya.
Berbeza seperti yang pernah diamalkan PKR, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng katanya tidak akan membuat keputusan sendirian dalam mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
“Sebaliknya, keputusan itu akan dibuat melalui konsensus ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan.
“DAP juga mengharapkan rakan-rakan yang boleh dipercayai dan yakin kerjasama perlu diteruskan dalam membina platform yang kukuh berasaskan kepercayaan.
Fahmi sebelum ini menegur Guan Eng kerana menyamakan keputusan untuk DAP melaksanakan PRN Pulau Pinang dengan Langkah Kajang dan dua PRK lain dengan berkata ianya tidak tepat.
Kata Fahmi, PRN negeri melibatkan 40 kerusi DUN Pulau Pinang yang mana implikasi daripada pilihan raya itu akan memberi kesan kepada semua parti pembangkang berbanding Langkah Kajang yang hanya memberi kesan kepada PKR sahaja.
“PKR sentiasa menjadi rakan yang konsisten dalam gabungan politik sama ada ia adalah Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.
“Kami sentiasa berunding, mendengar dan bertindak berdasarkan pandangan dibangkitkan rakan dalam gabungan itu, dan akan terus begitu dalam usaha bersama membina Malaysia lebih baik,” katanya.
Syerleena bagaimanapun berkata, keputusan PKR untuk meneruskan Langkah Kajang turut mengakibatkan rombakan dalam pentadbiran Selangor apabila menteri besar turut digantikan.
“Implikasinya besar, sama besar seperti mengadakan pilihan raya negeri,” katanya.
Guan Eng sebelum ini mendesak supaya PKR bersetuju dengan cadangannya untuk mengadakan PRN di Pulau Pinang seperti mana yang dilakukan oleh DAP yang ‘terpaksa bersetuju’ dengan dengan tindakan PKR sebelum ini untuk mengadakan PRK di kawasan parlimen Permatang Pauh dan DUN Penanti di Pulau Pinang serta Kajang di Selangor.