“Belum ada keputusan konkrit mengenai cadangan tersebut.
“Kita dengar dahulu. Setakat ini tiada apa-apa yang konkrit daripada parti mengenainya,” katanya, mengulas pelawaan PAS kepada parti itu.
PAS sebelum ini menolak tawaran PKR untuk menyertai Pakatan Harapan bersama DAP dan Amanah bagi menghadapi PRU14.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti Islam itu sebaliknya lebih berminat jika PKR dapat menyertai blok ketiga yang ditubuhkan mereka bersama Ikatan.
Bagaimanapun menurut Mohd Amar, tiada perbincangan lagi ke arah itu dan PAS juga belum membincangkan tawaran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini yang menyatakan harapan untuk PAS bergerak bersama PKR, DAP dan Amanah bagi menghadapi PRU14.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, maklum balas PAS terhadap cadangan PKR menunjukkan permulaan yang baik untuk semua parti politik pembangkang bekerjasama dalam satu polisi.
“Ia satu permulaan yang baik dan kita harus memanfaatkan jawapan positif ini untuk terus membincangkan faedah dan bagaimana parti-parti pembangkang dapat bekerjasama bagi memastikan objektif untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 akan tercapai.
“Saya fikir mekanisme itu kita boleh diperincikan kemudian. Seperti saya katakan terdapat tanda-tanda positif untuk menjalin kerjasama dan ini suatu perkara yang baik dan tentunya kedua-dua pihak akan berbincang lebih lanjut. Kita harapkan keterbukaan ini dapat digarap oleh semua pimpinan peringkat tertinggi di kedua belah pihak yang mahukan perubahan dalam negara,” katanya.