Pinjaman peribadi punca muflis

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, masalah sewa beli kenderaan juga antara punca seseorang individu itu diisytiharkan muflis.

“Mengikut statistik kes kebankrapan daripada 2011 hingga 2015, isu kebankrapan kategori paling tinggi adalah akibat kedua-dua masalah itu,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (BN-Silam) yang ingin tahu langkah kerajaan mengawal penggunaan kad kredit dalam kalangan generasi muda untuk mengelak muflis.

Tee Yong berkata, sebanyak 18,457 kes bankrap dilaporkan pada 2015.

Menjelaskan mengenai hutang kad kredit, Chua berkata, bagi mengawal penggunaan kad itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan syarat tertentu antaranya perlu mematuhi pendapatan minimum RM24,000 setahun.

“Malah, statistik menunjukkan kadar kelulusan permohonan kad kredit bukan 80%, sebaliknya antara 50 hingga 60% sahaja,” katanya.

Menjawab soalan asal Datu Nasrun mengenai inisiatif kerajaan memastikan jumlah hutang isi rumah terkawal, Chua berkata, BNM melaksanakan pelbagai langkah progresif bagi membendung kenaikan hutang isi rumah sejak 2010.

Selain itu katanya, turut dilaksanakan adalah Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER) dan program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mempertingkatkan kesedaran dan kemahiran pengurusan kewangan.

Menurut Chua, sehingga akhir tahun lepas, jumlah hutang isi rumah di negara ini adalah sebanyak RM1,030 bilion dengan 80 peratus terdiri daripada sistem perbankan dan 20 peratus lagi daripada institusi kewangan bukan bank, merangkumi 89.1 daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Daripada jumlah itu, 62.6 peratus adalah untuk pengumpulan aset, iaitu pembelian harta tanah dan pelaburan dalam aset kewangan,” katanya. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia