SELAYANG: Pindaan perlembagaan Bersatu mewajibkan wakil rakyatnya mengosongkan kerusi jika menyokong parti lawan diluluskan sebulat suara dalam perhimpunan agung khas hari ini.
Pembentangan pindaan dibuat susulan enam Ahli Parlimen parti itu mengalih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Usul pindaan dibuat Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dan disokong sebulat suara perwakilan.
Pindaan perlembagaan Bersatu dibentangkan pada perhimpunan agung khas itu selari Perkara 49A Perlembagaan, merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata selaras pindaan perlembagaan parti keahlian Ahli Parlimennya yang mengalih dan akan mengalih sokongan terbatal secara automatik.
“Maknanya dia tidak akan jadi ahli dan kerusi itu kosong. Bila kosong akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka pilihan raya kepada kerusi yang terlibat itu akan diadakan,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
Beliau berkata, selepas pindaan itu dikuatkuasakan dan mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), pihaknya akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen terbabit yang mengalih sokongan.
“Kita tanya balik. Kamu kata kamu ahli Bersatu tetapi kamu sokong belah sana. Jadi mengikut pindaan perlembagaan itu salah,” katanya.
Muhyiddin turut menegaskan kerusi terbabit perlu dikosongkan selepas ini.
“Nak kosong atau tak soal lain tetapi kerusi itu mesti dikosongkan,” katanya. -Free Malaysia Today