Pindaan Akta Wang Tidak Dituntukan Diluluskan, Kerajaan Pastikan Operasi Lebih Cekap

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, yang akan memastikan operasi pengurusan Wang Tak Dituntut (WTD) dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata RUU itu juga dapat meningkatkan pematuhan syarikat/ firma terhadap Akta Wang Tak Dituntut (Akta 370) dan mempamerkan mesej yang jelas mengenai komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tadbir urus WTD.

“Selain itu, pindaan itu juga akan selaras dengan keperluan semasa demi menjaga kepentingan orang awam, terutama empunya WTD.

“Cadangan pindaan itu juga akan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan untuk tempoh jangka sederhana dan panjang,” katanya ketika bacaan kali kedua RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Hui Ying berkata, pindaan Akta 370 yang terkandung dalam RUU itu membabitkan peruntukan di bawah beberapa Fasal.

Pindaan Fasal 3 membabitkan kemasukan seksyen baharu 2a bagi memperuntukkan skop WTD berbangkit daripada pemotongan takrif “unclaimed moneys” di bawah seksyen 8 Akta 370.

Seksyen baharu 2a yang dicadangkan itu juga bertujuan memperuntukkan bahawa WTD perlu dibayar kepada pemunya selepas wang itu menjadi kena dibayar daripada satu kepada dua tahun.

Pindaan seksyen 5 dan 6 Akta 370 di bawah Fasal 5 dan 6 bertujuan memperuntukkan hanya Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar yang dilantik Menteri sebagai orang yang bertanggungjawab bagi menguruskan WTD dan Sekuriti Tak Dituntut (STD).

“Selain itu, pindaan subseksyen 10a (1) di bawah Fasal 9 memperuntukkan daftar wang tak dituntut yang mengandungi butir-butir WTD yang dipegang syarikat atau firma yang kekal tidak dibayar sehingga ke hari terakhir Disember tahun yang sebelumnya, perlu disiarkan melalui perantara elektronik atau secara penyampaian elektronik.

“Kaedah pewartaan sedia ada membebankan kerajaan, yang mana purata kos pewartaan adalah RM10.5 juta setahun dan kos terkini mencecah sehingga RM15.5 juta pada 2023 dapat dijimatkan dengan pindaan itu,” katanya. –Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia