Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, pindaan yang ingin dibuat terhadap akta berkenaan seharusnya mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.
“Rang undang-undang yang hendak dibentangkan ini yang diperjuangkan sangat oleh PAS. Jadi ada sesetengah orang tafsir kalau kita tidak ikut apa yang dibentangkan dalam Parlimen, dia bukan Islam tulen.
“Saya tidak tahu lah. Jadi persoalan saya, orang Islam yang tidak ikut dia sebelum ini macam mana. Tok Guru (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) macam mana.
“Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia sebelum ada undang-undang ini. Saya rasa pelik sikit. Sebab ini undang-undang manusia yang bawa. Dalam Parlimen di bawah undang-undang Perlembagaan ini direka oleh manusia. Kata undang-undang tuhan,” katanya, memetik wawancara bersama Sinar Harian, hari ini.
Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li bagaimanapun tidak menyatakan pendiriannya terhadap pindaan akta yang di bawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, sebaliknya menegaskan tugas yang digalasnya adalah mempertahankan Perlembagaan.
“Satu perkara lagi pula, kalau kita tengok pada perlembagaan kita, raja-raja mesti lulus benda itu. Setuju, tidak setuju undang-undang itu di bawah Majlis Raja-Raja. Kerana raja berkuasa atas undang-undang, bukan kerajaan negeri, bukan parti politik.
“Jadi adakah raja-raja sudah bersetuju. Kalau seorang raja tidak bersetuju tidak boleh bawa. Adakah benda ini sudah dibawa kepada Majlis Raja-Raja sebelum dibawa ke Parlimen. Saya hendak tanya ini semua dahulu, kerana saya bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan negara.
“Bagi saya, saya tidak kisah, boleh menyokong atau tidak menyokong. Saya orang Islam. Saya mati sebagai orang Islam. Lidah saya tidak cacat, tidak berubah. Sama ada saya menyokong atau tidak menyokong saya hendak tengok dulu semua ini berlaku atau tidak berlaku,” katanya dalam wawancara itu.
Beliau bagaimanapun turut menegaskan sekiranya pindaan akta berkenaan dibawa dengan membelakangkan Majlis Raja-Raja pihaknya akan membantah perkara itu.
“Jadi apakah perkara ini bertentangan dengan Perlembagaan atau tidak. Kalau dibawa tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu, ini mencabuli kuasa raja-raja. Maka saya rasa tidak sah. Jadi bagaimana saya hendak menyokong kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.
“Ini bukan soal parti. Parti boleh perintah saya. Boleh jadi saya tidak akan ikut. Kerana saya lebih penting kepada sumpah saya kepada Perlembagaan negara saya.
“Saya dilantik sebagai ahli Parlimen, saya bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan negara saya. Semua ahli Parlimen pun bersumpah sedemikian rupa. Raja-raja pun mengangkat sumpah apabila menerima watikah menjadi raja-raja. Semua menteri besar, ahli exco juga mengangkat sumpah mempertahankan bukan sahaja al-Quran, tetapi Perlembagaan negara,” katanya.