Petugas Istana Negara pilu pisah dengan Agong dan Permaisuri

Baginda berdua akan mengakhiri tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-14, pada Isnin ini.

Rakaman alunan zikir dan selawat yang berkumandang di ruang legar Istana Negara di sini menambahkan lagi rasa sayu warga istana itu yang akan berpisah dengan pemerintah kesayangan mereka sehingga ada yang menangis.

Malahan, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah turut menitiskan air mata sewaktu bersalaman dengan para petugas sambil menitipkan kata-kata nasihat kepada mereka.

Ketua Bentara Istana Negara Rusli Asri yang berkhidmat dengan lapan Yang di-Pertuan Agong berkata, berpisah dengan setiap Yang di-Pertuan Agong setelah lima tahun bersama di Istana Negara merupakan saat yang amat sedih buatnya.

“Memang sedih setiap kali Yang di-Pertuan Agong meningggalkan kita. Sehinggakan sewaktu bersalaman dengan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah tadi, saya tidak boleh pandang wajah baginda berdua kerana terlalu sebak,” katanya.

Rusli yang telah berkhidmat di Istana Negara sejak 1981 sewaktu pemerintahan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong berkata, antara skop tugasnya adalah memayungi Tuanku Abdul Halim dan membentangkan sejadah untuk baginda bersolat.

Beliau juga menyifatkan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah sebagai seorang raja dan permaisuri yang sentiasa mengambil berat terhadap para petugas sehingga ada yang menganggap pasangan diraja itu sebagai ayah dan ibu mereka.

Pembantu Penyedia Makanan Istana Negara, Zaini Said berkata, antara kenangan manisnya bersama Tuanku Hajah Haminah adalah ketika bersama-sama memasak di dapur.

Katanya, Tuanku Permaisuri itu rajin memasak makanan kegemaran Tuanku Abdul Halim iaitu masakan kampung dan kuih tradisional Kedah seperti kari, serawa pisang, laksa dan kuih lopis.

“Tuanku Permaisuri sering memberi tunjuk ajar kepada saya terutama berkaitan ‘hal-hal’ di dapur seperti resepi masakan Melayu zaman dahulu,” katanya dengan linangan air mata. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia