SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri, mengesahkan menerima surat dari istana Selangor yang disampaikan melalui Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu hanya mengesahkan surat diterima sebagaimana tarikh pada surat iaitu 27 Februari lalu, namun enggan mengulas lanjut.
“Tiada komen. Saya tidak boleh komen, terima kasih,” katanya ringkas kepada pemberita di luar dewan selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditangguhkan petang tadi.
Tindakan Ab Halim enggan memberi kenyataan berhubung perkara itu turut dipertikai beberapa ADUN parti kerajaan termasuk ADUN Seri Sedang, Abbas Salimmi Che Adzmi; ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid dan ADUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
“Sebagai ADUN yang berada dalam negeri Selangor, beliau kena respon cepat mengenai isu ini, bukan dibiar sehingga dua tiga hari begini.
“Kami kesal ADUN Paya Jaras tidak buat apa-apa respon ke atas surat yang dikeluarkan oleh istana,” kata Abbas dalam sidang media, petang tadi.
Perkara itu dipersoalkan Abbas yang diberi laluan mencelah ketika Danial membahaskan titah ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada persidangan DUN Selangor, petang tadi.
Bagaimanapun, ADUN Taman Medan, Dr Arif Bahardin dari blok pembangkang bangun meminta perbahasan diteruskan tanpa membangkitkan isu terbabit.
Katanya, perbahasan perlu menjurus kepada menjunjung titah ucapan Sultan berkaitan Sidang DUN Selangor, bukan membangkitkan isu berkenaan.
Media hari ini melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi itu bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ pada 20 Februari lalu di portal berita pas.org.my.
Antara lain, Sultan Selangor menyifatkan Abdul Hadi yang membuat kenyataan terbuka di media sosial itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari. –Berita Harian Online