Titah baginda itu dimaklumkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas lawatan baginda ke lokasi kebakaran, hari ini.
Sultan Ibrahim turut berkenan mencemar duli ke HSA bagi mengikuti perkembangan terkini tragedi kebakaran di wad ICU selatan bangunan induk, HSA yang terbakar kira-kira 9 pagi tadi yang mengorbankan enam nyawa.
“Tuanku berkenan untuk membenarkan menggunakan sementara wad diraja yang lama sebagai tempat untuk meletakkan pesakit ICU ini,” katanya selepas mendapatkan taklimat mengenai insiden tersebut.
Mohamed Khaled turut mengucapkan takziah buat keluarga terlibat dan kerajaan negeri akan membantu keluarga waris yang terkorban.
“Majlis Agama Islam Johor (Maij) akan memberi bantuan RM100, 000 buat semua keluarga mangsa, dan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan yang diperlukan keluarga waris,” katanya.