Pertemuan KJ dan FAM belum ada kata putus

Khairy berkata, beliau telah membentangkan formula berkenaan kepada exco FAM pada pertemuan selama satu jam selepas diperkenan oleh Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada pertemuan minggu lepas.

Katanya, antara intipati formula berkenaan adalah berkaitan kepimpinan dan hala tuju FAM serta penglibatan semua pihak dalam membentuk masa depan bola sepak negara.

“Saya rasa secara spesifiknya keputusan akan diumumkan pada 15 Ogos ini iaitu pada Mesyuarat Exco FAM. Saya rasa penting untuk exco sendiri buat keputusan ini.

“Cuma sekarang masih ada ketidaktentuan berkenaan dengan kepimpinan FAM, yang mana semua sedia maklum presiden telah mengumumkan hasrat beliau untuk bersara dari FAM jadi kami perlu ada formula untuk bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, exco FAM menyambut baik segala pembentangannya mengenai formula baharu ini dan jika anggota exco lain

bersetuju, keputusan itu akan diumumkan pada mesyuarat exco nanti.

Ditanya mengenai calon pengganti Tengku Abdullah, Khairy berkata, pengganti baginda adalah berdasarkan keputusan perlembagaan iaitu melalui pemilihan pada Mesyuarat Kongres FAM.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah selepas perjumpaan bersama Khairy bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci isi formula yang dibincangkan itu.

“Dalam perjumpaan dengan menteri tadi, beliau ada memberi beberapa pandangan dan kita saling bertukar pendapat yang boleh diguna pakai untuk maju ke hadapan bagi kebaikan bersama,” katanya.

Afandi berkata, segala keputusan berkaitan formula baharu, termasuk keputusan perletakan jawatan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan dimaklumkan selepas mesyuarat exco bersidang. – Bernama

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2