Azmin berkata, kedua-dua mereka yang pernah bersengketa sejak 18 tahun lalu sanggup bersua ekoran negara berdepan dengan krisis kepimpinan dan memerlukan satu hala tuju untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.
Pertemuan itu katanya bukan sekadar dua insan bersalaman tetapi dua negarawan yang sanggup mengenepikan perbedaan dan kegetiran masa lampau demi masa depan negara dan rakyat Malaysia yang lebih terjamin.
“Seperti yang disebut oleh Anwar di mahkamah, kehadiran Dr Mahathir membuktikan bahawa beliau bersedia menerima agenda reformasi,” kata Azmin, dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau yang juga timbalan presiden PKR turut menyuarakan keyakinan ia bakal menjadi pengukuhan parti politik pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya yakin ini satu permulaan ke arah perpaduan umat dan pengukuhan parti – parti politik yang progresif sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke 14,” katanya.
Dr Mahathir bertemu Anwar di mahkamah semalam ketika ketua umum PKR itu ingin menfailkan injunksi bagi menghalang perdana menteri meneruskan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa Akta MKN tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.