Titah Tuanku Abdul Halim, baginda amat menghargai peranan para ulama dan umarak yang telah melaksanakan segala tanggungjawab mereka dengan penuh ikhlas dan amanah.
“Beta yakin, apabila muafakat dan jalinan ukhuwah kedua-dua golongan ini terlaksana dengan baik, maka akan baiklah juga jalinan ukuwah serta permuafakatan dalam kalangan rakyat jelata seluruhnya,” titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (Maeps) di Sedang pada Ahad.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat pada majlis yang bertemakan ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebanyak 105 kontinjen dengan kira-kira 10,000 peserta menyertai perarakan bersempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H.
Tuanku Abdul Halim seterusnya menyaran umat Islam di negara ini berusaha mengukuhkan permuafakatan serta memantapkan jalinan ukhuwah Islamiah untuk menghindari daripada perpecahan disebabkan perbezaan yang berlaku.
“Ingatlah kita bahawa segala usaha ke arah meningkatkan kemajuan sosioekonomi ummah, memperkasakan urus tadbir hal ehwal Islam serta memartabatkan Institusi Perundangan dan Kehakiman Syariah tentunya tidak akan berjaya jika umat Islam terus bertelagah dan berpecah,” titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim bertitah umat Islam seharusnya memiliki kebijaksanaan untuk mengurus perbezaan dengan cara terbaik dengan memberi keutamaan kepada agenda penyatuan ummah dan menjauhi segala bentuk perbalahan sesama sendiri.
“Semua pihak hendaklah mengamalkan adab yang tinggi, sentiasa berlapang dada dan bertoleransi, saling hormat menghormati serta mengasihi antara satu sama lain,” titah baginda. – Bernama