Menurut pegawai acara syarikat itu Charyl Ng, mereka terpaksa membatalkan pertandingan itu “atas sebab-sebab dalaman”.
“Dengan dukacita, kita perlu batalkan acara itu. Kita batalkan acara itu sebab masalah dalaman.
“Kita tidak boleh beritahu,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) daerah Hulu Langat hari ini dilapor membantah penganjuran pertandingan melibatkan supermodel antarabangsa di Bangi Wonderland Theme Park and Resort di Bangi Avenue, 19 Februari ini.
Yang dipertuanya Mohd Noor Azib Asmangi berkata penganjuran program itu mencabar sensitiviti penduduk Bangi yang kebanyakannya beragama Islam, lapor Ismaweb.
Malah, katanya, ia tidak selari dengan slogan “Bangi Bandar Berilmu” dan menjadikan kehidupan Islam sebagai teras.
“Program seperti ini perlu dibatalkan sebagai menghormati penduduk yang majoritinya ialah Melayu Islam,” katanya ketika dihubungi portal NGO itu hari ini.
“Pihak ISMA sendiri menolak sekeras-kerasnya penganjuran program yang tidak memberi manfaat kepada umat Islam sebegini dan yang mempromosikan program-program yang berbentuk sosial serta tidak bermoral secara terbuka begini.”
Noor Azib juga menggesa penduduk bersama-sama membantah program itu dan mereka akan berhubung dengan persatuan penduduk setempat untuk membincangkan usaha mengeluarkan petisyen bantahan bersama.
Acara itu dikatakan akan diadakan di sebuah taman tema air.
Pemenang pertandingan penggambaran itu akan dianugerahkan wang tunai RM500, trofi dan tiket masuk ke acara acara makan malam gala program itu yang bernilai RM300 setiap kerusi sehingga RM10,000 semeja. -Malaysiakini