Boleh agak apa yang saya hendak kongsi dengan pembaca semua? Benda yang saya hendak cakap ini ada macam-macam nama, antaranya ‘frankfurters’, ‘franks’, ‘wieners’, ‘weenies’, ‘tube steak’ dan ‘sausage’.
Namun ia lebih dikenali sebagai ‘hotdog’!
Kalau hendak diikutkan restoran makanan segera sudah berdekad menjual ‘hotdog’. Ia juga dijual penjaja tepi jalan di banyak tempat sementara ‘hotdog’ mentah yakni ‘frankfurter’ atau ‘sosej’ boleh dibeli dengan mudah di kedai serbaneka atau pasar raya.
Baru-baru ini nama ‘hotdog’ menjadi isu apabila rangkaian pretzel Auntie Anne menghadapi masalah untuk mendapat kelulusan persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana beberapa kekurangan termasuk nama salah satu hidangannya ‘Pretzel Dog’.
Meskipun ‘hotdog’ tidak ada kena mengena dengan anjing, haiwan yang dikategorikan sebagai najis dalam agama Islam, Jakim bimbang adanya nama anjing boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penganut agama Islam.
Persoalannya ialah apakah rakyat Malaysia kisah atau tidak nama ‘hotdog’ ini ditukar?
YouGov, sebuah firma penyelidikan pasaran global ternama membuat keputusan untuk membuat tinjauan sama ada perubahan nama ‘hotdog’ akan ada kesannya.
Firma ini menjalankan tinjauan dalam talian selama empat hari dari 21 Okt, 2016 untuk mendapat maklumat balas sama ada perlu nama ‘hotdog’ ditukar dan jika perlu apakah nama yang sesuai.
Kajian ini melibatkan 941 rakyat Malaysia iaitu terdiri daripada 53% lelaki dan 47% wanita. Sebanyak 60% responden adalah beragama Islam.
Apakah rakyat Malaysia kisah untuk ‘hotdog’ diberi nama baru? Hasil tinjauan menunjukkan hampir 60% responden menganggap langkah menukar nama itu tidak akan mendatangkan sebarang kesan.
Sebanyak 43% responden menjawab “tidak, tidak sama sekali” sementara 16% menjawab, “tidak, tak adalah” dan hanya 8% berpendapat penukaran nama sudah tentu ada kesannya.
Seandainya rakyat Malaysia menamakan semula makanan kegemaran mereka ‘hotdog’, apa agaknya nama baru itu?
Lebih daripada separuh lebih suka jika ia hanya dipanggil ‘sosej’, diikuti dengan ‘Pretzel Sosej’ dan ‘Frankfurters’.
Satu lagi perkara menarik hasil daripada tinjauan ini ialah sos dan bahan tambahan yang paling popular untuk ‘hotdog’ di Malaysia. Tujuh daripada 10 responden memilih sos, diikuti keju, mayonnaise, mustard dan akhir sekali, bawang.
Tinjauan itu juga mendedahkan sikap makan di luar di kalangan orang Islam iaitu sembilan daripada 10 responden Muslim berkata mereka hanya makan di restoran yang mempunyai persijilan Halal.
Ini jelas menunjukkan kepentingan persijilan Halal jika mahu menarik pelanggan Muslim.
Mengenai persoalan sama ada terdapat cukup restoran yang mempunyai persijilan Halal di Malaysia, sekitar 71% berkata sudah ada cukup restoran yang memiliki persijilan Halal di negara ini sementara ada juga responden yang mahukan lebih banyak lagi restoran seumpama itu.
Meskipun isu ‘hotdog’ di Malaysia menjadi buah mulut banyak pihak termasuk di seberang Tambak, tinjauan yang dibuat oleh YouGov ini mendedahkan banyak perkara.
Apa pun saya menunggu sama ada makanan kegemaran saya ‘hotdog’ ini akan mendapat nama baru.– Bernama