Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan sehingga 26 Oktober

Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir Isnin dilanjutkan mulai esok hingga 26 Oktober ini, dari pukul 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, dengan perlanjutan itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di rumah dan dilarang memasuki kawasan berkenaan sepanjang tempoh itu.

Abdul Rashid berkata, perairan yang terlibat dalam perintah berkurung itu meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung di situ ialah untuk memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penjenayah dari selatan Filipina yang melakukan penculikan untuk mendapat wang tebusan, masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia