Mereka membantah RUU355 persendirian Hadi Awang, alasan yang dikemukakan adalah sama dengan semua orang iaitu bimbang langkah tersebut akan membuka pintu utama kepada pelaksanaan hudud dan negara yang melaksanakan undang-undang ini pasti akan ketinggalan dan mundur.
Hujah ini benar-benar menepati pendirian kita, namun masih ada sedikit kebimbangan juga untuk menghadiri perhimpunan tersebut. Perhimpunan balas ini diadakan pada hari yang sama, sebelah pihak menyokong 355 manakala sebelah pihak pula membantah 355.
Ada kebimbangan jika berlaku keadaan seperti BERSIH 4 dulu, di mana perhimpunan tersebut dimonopoli oleh kaum Cina, nescaya ada pihak yang akan ambil kesempatan untuk mengada-adakan cerita. Sebenarnya hari ini juga sudah ada orang yang membangkitkan isu perkauman dan perlu lebih berhati-hati. Jika berlaku pertembungan dua kaum pasti ada kebimbangan terhadap situasi tegang, seperti perhimpunan baju kuning dan baju merah tidak berapa lama dahulu.
Sepatutnya jika mahu mengadakan perhimpunan, lebih baik diadakan satu demi satu. Ada pihak mengatakan Hadi Awang tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan ini, tetapi tiada siapa yang boleh memujuknya. Lagipun, sudah banyak kali perhimpunan jalanan seperti ini diadakan, maka tiada alasan kukuh untuk mengatakan mengapa beliau pula tidak boleh mengadakannya.
Hadi Awang sebenarnya telah mengingatkan kita satu kebenaran iaitu dalam masyarakat ini, bukan hanya kita semata-mata wujud tetapi mereka juga wujud. Justeru itu, perlulah beringat sebelum melakukan apa-apa perkara. – Kwong Wah Yit Poh