Ia ekoran pihak pengurusan T-Team sanggup memberikan pas masuk percuma kepada mereka bagi menyaksikan aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara T-Team dan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu ini.
Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Shahrizan Mohd Zin berkata pemberian tersebut adalah bagi menghargai usaha penyokong tegar yang sentiasa mengekori rapat perkembangan semasa pasukan tersebut.
“Kita hargai kesungguhan dan sokongan mereka yang sanggup pergi ke stadium baik di negeri sendiri dan negeri lain semata-mata untuk memberikan sokongan kepada kita.
“Jadi bagi mengubati kekecewaan mereka tempoh hari, kita memberikan pas masuk percuma kepada mereka yang tersesat itu,” katanya.
Para penyokong tersebut menaiki bas yang disewa pada 19 Sept lalu, namun sebaik tiba di Maran, Pahang, mereka menyedari mereka tersalah laluan dan bukannya menuju ke stadium tersebut.
Mereka akhir tersesat sehingga ke Stadium Jempol, Negeri Sembilan dan hanya menyaksikan kemenangan The Titans menerusi skrin besar di luar stadium itu.
Sementara itu ketua rombongan tersebut Arifin Mat Ali, 54, melahirkan rasa terharu dengan sumbangan pas percuma tersebut.
Katanya pemberian itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan mereka yang lalu.
“Kami memang bersemangat untuk ke Jengka, namun akhirnya kami sampai ke Jempol. Kami memang terkilan kerana terlepas melihat aksi pasukan kami di atas padang.
“Ini adalah sejarah dan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang 40 tahun saya menjadi penyokong T-Team dan Terengganu,” katanya.— Bernama