Menerusi tinjauan Bernama, terdapat penyokong yang tidak berganjak di depan kaunter tiket di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini walaupun kaunter sudah ditutup sejam lalu setelah dibuka mulai pukul 9.15 pagi.
Sebanyak 8,000 keping tiket diperuntuk oleh pihak pengurusan stadium untuk penyokong T-Team.
Noor Fazhana Abd Wahab, 32, berkata beliau amat kecewa kerana setelah berbaris hampir sejam, akhirnya diberitahu tiket sudah habis.
“Saya dan empat adik beradik saya yang lain bertolak dari Kemaman pukul 6.30 pagi tadi semata-mata nak beli tiket. Saya harap pihak pengurusan stadium dapat memperbaiki proses penjualan tiket agar kejadian sebegini tidak berulang dan lebih ramai penyokong dapat membelinya,” katanya.
Zubir Sulaiman, 40, dari Kuala Ibai berkata beliau bernasib baik kerana dapat mendapatkan tiket di saat akhir sebelum kaunter tiket ditutup.
“Saya datang ke stadium selepas solat Subuh dan Alhamdulillah saya dapat beli tiket,” katanya.
Stadium Ismail Nasiruddin Shah yang merupakan stadium rasmi pasukan T-Team boleh memuatkan antara 10,000 hingga 12,000 penonton.
Sementara itu Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pemilihan stadium tersebut sebagai venue perlawanan dibuat atas permintaan T-Team sendiri.
“Jika memikirkan tentang jumlah penonton yang akan hadir, kerajaan negeri akan memilih Stadium Gong Badak kerana ia boleh memuatkan sehingga 40,000 penonton berbanding 10,000 penonton di Stadium Ismail Nasiruddin Shah.
“Namun pemain berkata mereka tidak pernah berlatih atau bermain di Stadium Gong Badak dan sekiranya perlawanan berlangsung di situ, mereka tidak boleh menjanjikan kemenangan kepada T-Team.
“Berbeza dengan Stadium sultan Ismail Nasiruddin Shah, pemain berkata mereka lebih selesa dan yakin akan mencapai kemenangan,” katanya.– Bernama