Turut kelihatan di perkarangan Istana Kehakiman ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh.
Kawasan di sekeliling Istana Kehakiman turut dikawal rapi pasukan keselamatan termasuk dengan memasang besi penghadang dalam jarak kira-kira 100 meter dari bangunan mahkamah.
Anwar memohon mahkamah tertinggi negara menyemak keputusan terdahulu sebagai usaha terakhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Keputusan tersebut akan diumumkan oleh panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan mensabit dan menghukum Anwar dengan pemenjaraan selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya pada 9 Januari 2012.
Prosiding semakan pada 12 Oktober lalu antara lain menyentuh isu kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) sejurus selepas keputusan diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan serta tindakan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah membuat jerayawara mengenai kes tersebut.
Anwar disabitkan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 31, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara di antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008, memetik Utusan Online.