Penutupan itu akan bermula dari 11 malam hingga 6 pagi, dan lima lorong akan disediakan untuk pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur (KL) ke Lebuhraya SPRINT, kata MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd dalam kenyataan tadi.
Sepanjang penutupan laluan itu, pengguna jalan raya dari Jalan Tun Mohd Fuad boleh menggunakan laluan LDP (menuju SS2) dan mereka dari Jalan Leong Yew Koh boleh menggunakan laluan bawah persimpangan TTDI ke SS2 untuk ke Lebuhraya SPRINT di Persimpangan Damansara Utama berdekatan Balai Polis.
Pengguna jalan raya dari Kepong ke Lebuhraya SPRINT (menuju KL) boleh ke jejambat dan membelok kiri di Persimpangan Damansara Utama untuk ke Lebuhraya SPRINT manakala pemandu di Lebuhraya SPRINT ke TTDI akan dilencongkan ke Persimpangan TTDI dan membuat pusingan ‘U’ sebelum lampu isyarat untuk ke Jalan Tun Mohd Fuad.
“Pemandu di Lebuhraya LDP dari SS2 ke Jalan Damansara (menuju KL/Lebuhraya SPRINT) akan dilencongkan ke Persimpangan Bandar Utama untuk membuat pusingan ‘U’. Mereka dikehendaki menggunakan jejambat di Persimpangan TTDI menuju ke SS2 untuk ke Lebuhraya SPRINT di Persimpangan Damansara Utama,” kata kenyataan itu.
Dalam tempoh sama, aliran kontra akan dilaksanakan dari Pizza Hut ke Pintu Masuk B Stesen MRT TTDI.
Pengguna jalan raya dari LDP/TTDI menghala ke KL/Lebuhraya SPRINT akan dialihkan ke lorong bertentangan dan satu lorong lalu lintas akan disediakan bagi setiap arah manakala persimpangan Jalan Wan Kadir dan Jalan Wan Kadir 3 dan Jalan Damansara akan ditutup buat sementara waktu dan tidak boleh digunakan semasa tempoh aliran kontra.
Pelan Pengurusan Trafik (TMP) waktu malam juga akan dilaksanakan di persekitaran Persimpangan TTDI mulai Jumaat ini hingga 30 Sept bagi memudahkan kerja-kerja mengecat, memasang kabel dan binaan untuk Stesen MRT TTDI.
Penutupan laluan itu melibatkan jalan susur penuh dari Jalan Leong Yew Koh yang membawa kepada Jalan Damansara (KL/Lebuhraya SPRINT) dan laluan bawah di Persimpangan TTDI serta Jalan Leong Yew Koh sedia ada untuk Lebuhraya LDP.
Pelan pengurusan trafik juga akan melibatkan penutupan pusingan ‘U’ ke TTDI dan penutupan jalan masuk ke Jalan Damansara dari SS2.
Sementara itu, penutupan sebahagian lorong di kira-kira 150 meter di lorong kiri terowong dari Kajang ke arah East West Link Expressway, akan diteruskan mulai Jumaat ini hingga 15 November depan selama 24 jam.
“Semasa penutupan ini, satu lorong akan disediakan untuk pemandu dari Kajang menuju ke Lebuhraya Link Timur-Barat,”kata kenyataan itu.
Penutupan laluan di Jalan Cheras berhampiran Taman Midah akan dilaksanakan mulai Jumaat ini hingga 15 Ogos dari 11 malam hingga 5 pagi, untuk memudahkan pelancaran jek bumbung dan kerja-kerja berkaitan bagi Stesen MRT Taman Midah.
Semasa penutupan itu, trafik dari KL menuju ke Kajang akan dilencongkan ke laluan dalaman di Stesen Minyak Petronas berhampiran Tanah Perkuburan Kristian Cheras dan keluar ke Jalan Cheras melalui laluan dari McDonald’s, manakala pengguna jalan raya dari Kajang akan dihalakan ke lorong bawah di Stesen MRT Taman Midah yang bakal dibina.
Menurut syarikat itu, laluan Jalan Cheras berhampiran Cheras Sentral akan ditutup dari 16 hingga 17 Julai bermula dari 12 malam hingga 5 pagi melibatkan penutupan lorong paling kanan di sepanjang Jalan Cheras (menuju Kajang) bertentangan Cheras Sentral Mall.
Penutupan itu turut melibatkan tiga lorong di sepanjang Jalan Cheras (menuju KL) bertentangan Cheras Sentral Mall dari MRT CLQ ke KL.
Pelan pengurusan trafik empat fasa juga akan dilaksanakan di sepanjang Persiaran Surian dari Julai hingga 6 Ogos bermula 11 malam hingga 6 pagi bagi memudahkan pemasangan jejantas pejalan kaki di kawasan Pelangi Astana dan Pelangi Square. – Bernama