Penuntut UKM ambil masa 7 jam kaji tendangan Faiz Subri guna teori fizik dan matematik

Kemenangan itu turut melonjakkan nama pemain Pulau Pinang itu yang menjadi sebutan di media sosial selain turut menerima pujian daripada ramai bintang dan legenda bola sepak dunia.

Keunikan jaringan itu juga te­lah menarik minat pelajar fizik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Hafizudin Kamal, 23, untuk membuat kajian mengikut teori fizik dan matematik.

Menurutnya, jaringan menakjubkan Mohd. Faiz itu sebenarnya tidak melanggar hukum fizik, dan boleh dibuktikan dengan mengguna pakai teori Kesan Magnus (Magnus Effect).

“Ada yang mengatakan tenda­ngan itu sebenarnya semacam nasib, namun untuk buktikannya saya telah mendapat ilham untuk membuat pengiraan matematik dan fizik bagaimana hal tersebut terhasil.

“Secara ringkas, kiraan ini mengunakan prinsip keabadian tenaga dan momentum iaitu menekankan aspek di mana sepakan Mohd. Faiz bermula dan waktu paling kritikal ketika bola berada di ketinggian paling maksimum di mana waktu itu berlakunya kesan tolakan angin dari arah bertentangan yang menyebabkan bola melencong sebegitu rupa.

“Bagaimanapun, keterangan dalam kiraan tersebut masih banyak yang boleh dikaji dengan lebih terperinci,” katanya yang mengambil masa hingga tujuh jam untuk menyiapkan kiraan tersebut.

Kiraan Mohd. Hafizudin pada sehelai kertas mengenai jaringan ajaib itu menjadi viral dalam laman sosial yang menerangkan kiraan matematik dan bagaimana sepakan lencong Mohd. Faiz terhasil.

Menurutnya, ilham untuk melakukan kajian itu hasil daripada permintaan seorang pensyarahnya Prof. Madya Dr. Zaidi Embong dari Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) yang ingin mengetahui apa berlaku di sebalik jaringan tersebut.

Katanya, dengan panduan beberapa parameter daripada istilah fizik yang diberikan oleh pensyarah itu dia memulakan kiraannya bermula pukul 10.30 malam hingga 5 pagi.

“Saya cuba untuk fahamkan secara asasnya dan cuba buat kajian itu lebih teliti dengan mengetengahkan pelbagai teori fizik selain di bawah topik Fizik Mekanik yang terdapat dalam jurusan pengajian saya.

“Sejak belajar di Kolej Matrikulasi Melaka, saya amat berminat dengan bidang fizik ini dan ini pertama kali saya mengkaji mengenai tendangan bola seumpama ini,” katanya.

Jaringan yang mencetuskan fenomena itu dilakukan Mohd. Faiz ketika membantu Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-1 ke atas Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.

Mohd. Faiz memenangi Anugerah Puskas selepas memperoleh 59.46 peratus undi yang dilakukan oleh peminat seluruh dunia, jauh meninggalkan dua lagi finalis iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (22.86 peratus) dan pemain wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela (10.01 peratus). – Utusan Online

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia