Perjanjian ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Ketua Pegawai Korporat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Abdul Hadi Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengerusi Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdb Bhd (AKSB), Datuk Hanifa Ahmad.
Penstrukturan berkenaan adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi membantu AKSB dari segi kewangan untuk mewujudkan industri perkhidmatan air yang lebih mapan di Kelantan.
Dalam kenyataan bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, mereka berkata, melalui perjanjian itu, perkara berkaitan bekalan dan industri air di Kelantan akan diletakkan sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Katanya, Kerajaan Persekutuan akan bertindak sebagai pengawal seperti diperuntukkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2016 (Akta 655).
“Melalui penstrukturan ini, AKSB akan memberi tumpuan pada aspek operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air supaya lebih efisyen serta efektif bagi menjamin bekalan air yang mencukupi, berkualiti dan berterusan kepada rakyat Kelantan.
“PAAB akan mengambil alih pinjaman kerajaan negeri berkaitan bekalan air dan memberi pembiayaan modal kepada AKSB bagi menaik taraf serta memperbaharui aset berkaitan bekalan air sedia ada dan membina infrastruktur air baharu,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.