KUALA LUMPUR: Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dijadual membuat penjelasan mengenai Beras Putih Malaysia Madani esok.
Ahli Parlimen Ahli Parlimen Bukit Gantang itu membuat jemputan kepada media sebentar tadi.“Jemputan taklimat media. Penjelasan dan penerangan mengenai isu beras putih Malaysia Madani,” katanya.
Pada 14 Januari lalu Syed Abu Hussin mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.
Katanya, pelaksanaan tersebut berkuat kuasa 19 Februari ini dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.
Katanya melalui pengenalan berkenaan bermakna tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, dalam tempoh 19 Februari hingga 1 Mac 2024, kerajaan memberi masa kepada pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dengan membenarkan semua jenis pembungkusan lama dijual sehingga stok pengampitan di pemborong habis.
Bagaimanapun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan mewujukan satu gred Beras Putih Malaysia Madani.Menurut Mohamad, sebarang pengumuman atau ketetapan perlu berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu.
Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat NACCOL akan datang.
Semalam, Anwar berkata, beliau yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas beberapa perincian diteliti dalam mesyuarat khas NACCOL yang dijangka berlangsung minggu depan.
Katanya, dalam mesyuarat itu nanti beberapa cadangan akan dikemukakan sebelum harga kawalan beras akan diputuskan secara muktamad.- MalaysiaGazette