Perkara itu disuarakan Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak yang melihat kesan kepada kerajaan dan rakyat menanggung rugi berbilion ringgit akibat sikap tidak bertanggungjawab serta rasa tamak segelintir kakitangan kerajaan yang terbabit dengan gejala itu.
Mengambil contoh tiga penjawat awam, dua daripadanya bergelar datuk dan datuk seri yang ditahan baru-baru ini, Halim berkata, apa yang berlaku itu menunjukkan mereka merupakan individu yang tewas dengan godaan duniawi.
“Kehidupan mewah perasuah dan simpanan yang banyak dalam akaun bank masing-masing yang tidak masuk akal sama sekali itu akhirnya memakan diri sendiri seperti kata pepatah Melayu ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah’.
“Inilah akibatnya kalau nafsu serakah telah menguasai diri, maka terjerumus dengan gejala rasuah yang akibatnya meringkuk dalam penjara dengan penuh kekesalan dan terpaksa menanggung malu seluruh keluarga dan gelaplah masa hadapan sehingga ke akhir hayat.
“Mereka yang melakukan perbuatan rasuah ini adalah pengkhianat negara yang perlu dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana dengan perbuatan terkutuk itu mampu merosakkan negara dan secara tidak langsung membuatkan rakyat menjadi derita,” katanya dengan memetik laporan Sinar Harian.